Assalamualaikum semua kawan-kawan ibu.. Jom ibu share pada korang semua satu rahsia tentang satu kalimah yang terdapat dalam surah Al-Kahfi ayat 19.
Ayat ini juga boleh di jadikan penawar sihir, racun, juga santau dan sebagainya. Ada juga yang berpendapat dalam beberapa keterangan bahwa penulisan 'Walyatalattaf' dengan warna merah merupakan pengenang atas kematian Khalifah Utsman bin Affan. Betul atau tak semua tu, hanya Allah yang tahu..
Menurut Ibnu ‘Asyur dalam kitabnya ‘At-Tahrir Wa At-Tanwir’, majoriti Ulama’ Ilmu Tafsir berpendapat jika dikira satu-persatu perkataan dalam Al-Quran bermula dari perkataan “الحمد” di dalam Surah Al-Fatihah dan berakhir dengan perkataan “الناس” dalam Surah An-Nas, kita akan dapati perkataan “وليتلطف” kedudukannya terletak betul-betul di tengah-tengah Al-Quran.
Umpamanya dalam satu bulatan, perkataan ini merupakan titik tengah (central point), terbentuk di sekelilingnya satu lingkaran dengan jarak malar.
Apakah hikmah perkataan ini sebagai ‘central point’ Al-Quran?
Jika kita membuat sedikit ‘bedah siasat’ terhadap perkataan “وليتلطف”, ia terdiri dari 3 unsur;
1. Wau al-‘Athaf (و العطف) : Kata penghubung
2. Lam al-Amr (لام الأمر) : Kata suruhan atau perintah
3. Perkataan يتلطف : Kata kerja
Perkataan “يتلطف”, jika diperhatikan, mengandungi di dalamnya maksud kindness (berbuat baik), patience (bersabar), respectful (menghormati), generous (bermurah hati), gentle (lemah lembut) dan humble (rendah hati).
Atau dengan kata lainnya, segala sifat yang baik terkumpul dalam satu perkataan ini.
Datangnya perkataan ini diikat dengan kata suruhan dan perintah, menunjukkan ia merupakan satu perintah dari Allah SWT untuk kita sentiasa menghormati dan berbuat baik sesama manusia, tanpa mengira umur, pangkat, bangsa dan agama, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan seharian.
Terletaknya pula perkataan ini di lokasi paling tengah di dalam Al-Quran, memberi isyarat kepada kita bahawa mesej agung yang ingin disampaikan Kitabullah ini adalah tentang peri pentingnya kita sebagai manusia, dalam menjalani kehidupan di dunia ini agar sentiasa bersikap toleransi, lemah lembut, pemaaf, rendah hati.
Sebagaimana Allah SWT turut memberi dorongan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW dalam Surah Ali Imran, Ayat 159:
“Maka dengan sebab rahmat dari Allah kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari dirimu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan..”
Inilah ‘central thought’ yang dibawa oleh Al-Quran. Tidak kira bagaimana jua bentuk ayat Al-Quran yang datang; ayat hukum-hakam, ayat penceritaan, ayat suruhan sekalipun ayat larangan, hakikatnya Al-Quran sedang membawa para pembacanya kembali kepada maqasid asal penurunan Al-Quran itu sendiri;
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau wahai Muhammad, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiyaa’: 107)
Pembelajaran yang kita boleh ambil, amalkan ayat ini jika merasa diri dalam keadaan yang tidak tenang, kacau bilau, kerasukan, dan sebelum menjamah makanan dari orang lain walaupun saudara sendiri untuk mengelakkan perkara buruk berlaku. Hanya Allah tempat kita meminta dan sebaik-baik perancang itu adalah Allah SWT. Hasbunallah wanikmal wakil..
0 Ulasan