Cuti-cuti Terengganu (Bukit Keluang)


Nikmati pemandangan indah di sini.. 

Keindahan Bukit Keluang menjadi buruan pencinta alam. Berada di puncak Bukit Keluang, Jertih dapat menyaksikan keindahan alam yang menghadap Laut China Selatan.

Umpama jatuh cinta pandang pertama saat kaki menjejaki puncak Bukit Keluang, Jertih, Terengganu, mata terpesona dengan keindahan pemandangan Laut China Selatan berlatarkan kehijauan hutan di pesisiran pantai.

Bukit Keluang mempunyai tarikan tersendiri yang boleh memukau para pengunjung tempatan dan luar negara dengan keindahan dan keunikannya. Selain itu, para pengunjung ke Kuala Besut juga berpeluang untuk mendapat pengalaman menarik dari aktiviti-aktiviti pilihan tersendiri seperti memancing, bermain wau dan lain-lain lagi.

Bagi pencinta alam tegar, keindahan alam semula jadi dengan desiran angin laut bertiup lembut memberi rasa ketenangan mampu mengasyikkan jiwa sekali gus mencetuskan kerinduan berpanjangan untuk kerap mendaki puncak itu.

Bukit Keluang yang terletak 4 kilometer (km) dari Pekan Kuala Besut sering menjadi tumpuan utama pengunjung pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti mendaki bukit bersama keluarga.

Disini, terdapat banyak kemudahan seperti rumah rehat, restoran, tandas awam, wakaf untuk berehat dan lain-lain lagi. Kehijauan hutan yang belum terusik mendamaikan mata yang memandang. Pantainya yang bersih dan lautan yang kebiruan selain keindahan pulau-pulau kecil yang boleh dilihat dari kejauhan, menjadikan destinasi pelancongan ini begitu terkenal bagi para pengunjung..

Keindahan pemandangan puncak ketika matahari terbit dan matahari terbenam tidak sama disebabkan itu ramai yang sanggup mendaki bukit pada awal pagi dan sekali lagi pada waktu petang.

Kebiasaannya setiap hujung minggu, iaitu Jumaat dan Sabtu jumlah pengunjung yang mendaki Bukit Kluang akan bertambah berkali ganda hingga mencecah ratusan antara 200 hingga 300 orang.

Selalunya seawal jam 6.45 pagi sudah ada pengunjung yang mula mendaki bukit dan petang kebiasaannya sekitar jam 4.30 petang ke atas.

Jika diikutkan jarak antara kaki bukit hingga ke puncak tidak terlalu jauh bagi yang biasa mendaki boleh sampai ke atas dalam tempoh kurang 10 minit bagi tidak biasa kadang-kadang mengambil masa hingga 20 minit,

Menikmati keindahan alam tidak sama dengan mendengar pengalaman orang kerana kita sendiri yang boleh rasa betapa nyaman udara segar di puncak bukit dan melihat Pulau Perhentian dari jauh.

Keindahan tempat ini juga menjadi tarikan bagi mereka yang melakukan aktiviti penggambaran filem ataupun drama televisyen. Tidak sah sekiranya berkunjung di sini tanpa menikmati pemandangan indah dari puncak tangga Bukit Keluang.

Pondok-pondok kecil dibina untuk memudahkan orang ramai untuk berehat sambil menghirup udara segar. Memang puas hatilah bagi yang berminat dengan aktiviti mendaki.. 

Apa korang tunggu lagi, CUTI-CUTI TERENGGANU, sentiasa menanti.. 

0 Ulasan