Terawih Dan Kelebihannya

Assalamualaikum semua.. Dah masuk Ramadhan ke4 yer kita.. Ibu harap semuanya sihat walafiat untuk kita memperbanyakkan amal ibadah pada bulan yang mulia ini. Hari ni ibu nak sambung beberapa perkara yang dapat di ketahui dari hadith fadhilat Ramadhan yang ibu kongsikan sebelum ini..


Pertamanya, perhatian yang diberikan oleh Nabi secara khusus di akhir Sya'aban untuk memberi penerangan dan peringatan kepada orang ramai agar satu saat pun daripada Ramadhan al-Mubarak tidak berlalu dalam keadaan lalai. Kemudian dalam peringatan itu selepas menerangkan kelebihan keseluruhan bulan tersebut, Baginda telah menarik perhatian kita secara khusus kepada beberapa perkara. Pertamanya ialah Lailatul Qadar. Pada hakikatnya ia adalah satu malam yang sangat penting. 

Selepas itu Rasulullah S.A.W. telah bersabda bahawa Allah SWT telah memfardhukan puasa padanya dan telah menjadikan berdiri pada malamnya yakni Terawih sebagai satu amalan sunat. Dari kenyataan ini dapat diketahui bahawa perintah untuk terawih datang dari Allah sendiri. Mana-mana riwayat yang menyatakan bahawa Nabi mengaitkan perintah itu kepadanya sendiri dengan berkata "Saya yang menjadikannya sunat" membawa maksud penekanan (ta'akid) iaitu Rasulullah sangat memberi penekanan terhadap terawih.

Setelah menyebut tentang puasa dan terawih, Baginda telah menumpukan perhatian kita kepada hal mengambil berat amalan-amalan fardhu dan sunat yang umum. Pahala satu amalan sunat adalah sama dengan amalan fardhu di bulan-bulan yang lain dan pahala satu amalan fardhu adalah sama dengan 70 amalan fardhu di bulan-bulan yang lain.

Perlu untuk kita renungkan kembali keadaan ibadah kita masing-masing. Pada bulan yang diberkati ini setakat mana kita mengambil berat terhadap amalan-amalan fardhu dan setakat mana terdapat penambahan di dalam amalan-amalan sunat.

Kecuaian kita terhadap amalan fardhu bergitu ketara sehingga ada di antara kita yang tidur semula selepas bersahur maka solat subuhnya di tinggalkan ataupun terpaksa di qada'akan kerana terlewat bangun lalu terlepas dari solat berjemaah.

Inilah keadaan solat kita pada bulan Ramadhan ni. Ada jenis yang mementingkan satu amalan fardhu iaitu solat isya' kerana ingin mengejarkan terawih. Di sebabkan satu fardhu, tiga fardhu yang lain telah di sia-siakan. Fardhu zohor ada yang korbankan kerana tidur ataupun alasan penat berkerja. Pada waktu asar pula ada yang leka korbankannya kerana sibuk membeli belah barangan untuk raya ataupun membeli juadah berbuka puasa. 

Kita dapat simpulkan di sini, jika amalan fardhu pun di ambil remeh, apatah lagi amalan sunat? Time mana pulak nak bertahajjud? Mana lagi nak cari masa lapang? Semua ini sebenarnya kerana kurangnya kesungguhan dan tidak ada keinginan untuk melakukannya. 

"Kalau hendak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih"


0 Ulasan