Salam Bersalaman Di Pagi Raya



Budaya Salam Bersalaman

Pengalaman ketika kecil membuatkan kita yang dewasa memahami keseronokan anak kecil mendapat duit raya. Suatu ketika dahulu, walaupun diberikan 50 sen sebagai duit raya, anak kecil sudah amat gembira. Masa berlalu dengan pantas, zaman berubah. Pemberian duit 50 sen sebagai duit raya sudah ditelan zaman. Pada zaman serba canggih ini, jumlah minimum duit raya sekurang-kurangnya RM 1 yang mana nilainya adalah lebih kurang sama dengan 50 sen pada era sebelum ini.

Setiap kali bersalaman dengan bapa saudara atau ibu saudara, mereka pasti menghulurkan duit raya. Ibu bapa akan memastikan anak kecil ini menyimpan duit raya yang diterima dengan baik.

Antara budaya baik diterapkan sebelum menerima duit raya adalah anak kecil itu mesti bersalaman dengan orang tua dahulu. Budaya bersalaman adalah contoh budaya yang baik, walaupun dikatakan kita menggalakkan anak kecil untuk meminta duit raya. Dari sudut yang positif, dengan bersalaman juga, kita akan dapat mengenali anak saudara yang jauh yang mungkin hanya ketika hari raya sahaja kita berjumpa. Dari segi sosial, bersalaman adalah satu tanda kemesraan sesama insan.

Ia juga adalah simbol penghormatan antara generasi muda dan tua. Dalam konteks hari raya, bersalaman sebelum memberi duit raya kepada anak kecil dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama saudara. Ramai ibu bapa yang mengajar anak kecil mencium tangan orang tua ketika bersalaman dan ini adalah perkara yang baik, kerana ia mengajar anak kecil itu mengenai status generasi serta konsep penghormatan.

Dari sudut pandangan Islam, Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang yang bersalaman. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, yang bererti: "Sesungguhnya seorang Muslim itu jika bertemu saudaranya kemudian bersalaman oleh kedua-duanya, maka gugurlah dosa-dosa mereka seperti berguguran daun-daun dari pokok yang kering ditiup oleh angin kencang, melainkan kedua-duanya diampuni semua dosa mereka meskipun banyak seperti buih di lautan." (Hadis Riwayat Thibrani)

Ketika mereka sudah baligh, ibu bapa haruslah mengajar anak mengenai mahram dan menekankan hanya yang mahram sahaja dibenarkan bersalam, yang bukan mahram, adalah haram pula untuk bersalam.

0 Ulasan