Kasih Sayang Diantara Suami Isteri, Manja Itu Perlu

MANJA bermaksud sangat kasih dan sangat mesra. Sifat manja ini merupakan sifat yang perlu ada pada pasangan suami isteri bagi menggambarkan kasih sayang antara satu sama yang lain. Banyak perkara yang boleh di lakukan untuk menunjukkan kasih sayang diantara suami isteri. 

Sebenarnya kebanyakan masyarakat kita masih lagi tidak faham akan maksud dan tujuan bermanja-manja antara pasangan suami isteri.

Ini disebabkan malu tak bertempat dan tegas tak kena gaya. Hasilnya mereka tumpul budaya romantik dan kering dalam bercinta.

Yang lebih ganjil lagi, ketika di luar ikatan perkahwinan, mereka bukan main romantik, tetapi apabila sudah bernikah, mereka bersikap dingin dan acuh tak acuh terhadap pasangan.

Umat Islam perlu membezakan antara romantik ala barat dengan romantik yang dianjurkan Islam. Romantik dalam Islam hanya kepada pasangan yang sudah berkahwin yakni sudah mempunyai hubungan yang diiktiraf syarak sedangkan romantik ala Barat, mereka bebas melakukan apa saja tanpa apa-apa batasan. Dalam Islam tidak wujud cinta monyet yang berlandaskan nafsu semata-mata.

Sebaik-baik ikutan yang perlu kita contohi ialah junjungan besar Baginda Rasulullah. Ini kerana kehidupan Baginda Rasulullah penuh dengan kasih sayang sesama keluarga.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga, Rasulullah sentiasa bergaul secara baik dengan isteri dan ahli keluarga.

Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka sebaliknya sabar dengan kerenah serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan.

Meskipun Rasulullah dikenali sebagai pemimpin yang disegani, Baginda sentiasa peka dan mencuba sedaya-upaya agar isteri tidak tersinggung.

Sikap itu ditunjukkan dengan bersahaja. Antara cinta terhebat Baginda Rasulullah adalah bersama Siti Khadijah. Cintanya Nabi kepada Khadijah sehingga Sabda Baginda Rasulullah kepada Aisyah: Sesungguhnya aku benar-benar telah dianugerahi cinta Khadijah. - [HR Muslim 4464].


0 Ulasan