Alieff Irfan Memenangi Content Creator APBH 2023


KUALA LUMPUR: Kali pertama diperkenalkan, trofi kategori Content Creator Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 menjadi milik YouTuber popular, Alieff Irfan.

Jejaka berusia 26 tahun berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu menewaskan empat finalis iaitu Sofyank, Arieff Yong, DD Chronicle dan Qawiyaro.

Alieff yang membangunkan saluran YouTube sejak 2016 menyifatkan kejayaan menewaskan Sofyank sebagai rezeki anak kembarnya yang dilahirkan, September tahun lalu.

"Kemenangan ini rezeki anak kembar saya... Alhamdulillah.

"Saya tidak jangka kemenangan ini. Sebelum ini, saya tewas di tangan Aqil Zulkiflee menerusi kategori YouTuber Popular pada ABPBH 34.

"Tahun ini, apabila saya lihat senarai Top 5 ada Sofyank, di mana kita tahu beliau berjaya di peringkat antarabangsa dan menjadi idola ramai.

"Jadi, saya tidak letak harapan tinggi. Disebabkan itu, saya terkejut apabila menang trofi ini," katanya kepada BH Online.

Alieff atau nama sebenar, Muhd Aliff Irfan Aziki kini membangunkan saluran media sosialnya bersama 33 pekerja.

Alieff berkata, kejayaannya dalam bidang ciptaan kandungan adalah berkat usaha dan kesungguhan pasukannya menghasilkan 'çontent' terbaik.

"Selain keluarga menyokong saya mencari rezeki, kekuatan saya adalah pasukan kerja.

"Saya bermula pada 2016 bukannya dengan usaha mudah, saya bergelut dengan pelbagai perkara.

"Namun, saya percaya ini jalan mencari rezeki. Jadi, saya tidak boleh tidur dan kena teruskan kerana ini lubuk rezeki dan pasukan saya," katanya.

Suami kepada pempengaruh media sosial, Nurul Nabilah Aliah Hazman atau lebih dikenali sebagai Bellestrelle ini cukup popular dalam media sosial.

Alieff memiliki lebih 4.9 juta pengikut dalam YouTube, 3.1 juta pengikut TikTok dan 2.1 juta pengikut Instagram (IG).

Alieff mula berjinak dengan bidang lakonan apabila membintangi filem pertama berjudul Daddyku Gangster arahan Ismail Bob Hashim, tahun lalu.

0 Ulasan