Peraduan Warkah Buat Ibu Sudah Bermula

Sempena sambutan Hari Ibu pada 13 Mei depan, Resorts World Genting dengan kerjasama akhbar Kosmo! menganjurkan peraduan Warkah Buat Ibu bermula 6 hingga 30 April ini.

Naib Presiden Perhubungan Awam dan Komunikasi Resorts World Genting, Katherine Chew berkata, orang ramai yang ingin menyertai pertandingan itu perlu klik butang Like pada akaun Facebook Awana Hotels & Resorts dan Kosmo Online bagi melayakkan diri sebagai peserta. Sila like FB Awana Hotels & Resorts, FB Kosmo Online untuk menjadi peserta.

“Peserta peraduan itu kemudian perlu menghasilkan sepucuk surat tidak melebihi 200 patah perkataan berdasarkan pengalaman mereka bersama ibu masing-masing.

“Surat itu pula perlu ditulis berdasarkan mana-mana enam tema yang telah ditetapkan sepanjang tempoh peraduan itu sebelum die-melkan kepada publicrelations@rwgenting.com,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Peserta-peserta peraduan Warkah Buat Ibu anjuran Resorts World Genting dan Kosmo! diberi kebebasan untuk menulis karya masing-masing di dalam bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris.

Pengurus Perhubungan Awam dan Komunikasi Resorts World Genting, Syahrul Zuhara S. A. Kamal berkata, isu bahasa tidak seharusnya menjadi kekangan bagi para peserta untuk menterjemahkan kreativiti dan perasaan mereka untuk menyertai peraduan itu.

“Menyedari hakikat rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa, kami mengambil keputusan untuk memberi kebebasan berbahasa kepada para peserta sewaktu menyertai peraduan ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, setakat ini, penyertaan amat memberangsangkan malah reaksi positif dapat dilihat menerusi laman Facebook apabila orang ramai mula berkongsi maklumat mengenai peraduan tersebut dengan rakan siber mereka.

Peraduan Warkah Buat Ibu menetapkan peserta menulis sepucuk surat yang tidak melebihi 200 patah perkataan mengikut enam tema pilihan yang akan berakhir pada 30 April ini.

Bermula pada 9 April lalu, Mengembara bersama ibu dipilih sebagai tema untuk minggu kedua.

0 Ulasan