Kisah Dongen dari Vietnam

Minh dan Duong
Pada zaman dahulu, ada dua orang pemuda yang tinggal di sebuah kawasan di Vietnam. Seorang bernama Minh dan seorang lagi bernama Duong. Minh tinggal berseorangan kerana dia sebatang kara. Dia seorang yang kuat dan rajin bekerja. Cerita tentang kekuatan Minh tersebar luas di kampungnya.

Duong pula seorang saudagar yang kaya-raya. Namun Duong sering menipu di dalam perniagaannya dan sentiasa mengambil kesempatan ke atas orang lain. Duong juga mendengar kisah Minh untuk kepentingan dirinya.

Pada suatu hari, Duong datang ke rumah Minh. Duong mengajak Minh kerja dan tinggal bersamanya. Dia mahu mengambil Minh sebagai saudarnya. Minh yang jujur itu menerima pelawaan Duong dengan senang hati. Lalu dia pun pindah ke rumah Duong.

Dilarikan Gergasi
Terdengar perkhabaran dari istana bahawa puteri raja telah diculik oleh gergasi. Gergasi yang ganas itu ingin menjadikan puteri raja sebagai makanannya. Berita tersebut sampai ke pengetahuan Duong lalu dia menawarkan dirinya untuk menyelamatkan tuan puteri. Lalu, raja pun bersetuju.

Sesampainya di rumah, Duong mencari Minh. Duong berkata, “Saudaraku Minh. Aku mahu kau tolong aku selamatkan puteri raja itu. Aku yakin, kau mesti dapat mengalahkan gergasi itu”. Minh yang tidak mengetahui niat jahat Duong menurut sahaja tanpa banyak bicara.

Minh pergi ke kawasan persembunyian gergasi dan Berjaya menyelamatkan tuan puteri. Gergasi dibunuh dan tuan puteri dibawa pulang. Sayangnya tuan puteri telah terkena sihir gergasi yang membuatnya tidak boleh bercakap.

Minh membawa tuan puteri pulang ke rumahnya. Di rumah, Duong sudah menanti mereka di depan pintu. “Minh, aku tahu kau sangat penat setelah bertarung dengan gergasi itu. Jadi, kau berehatlah. Biar aku sahaja yang hantar tuan puteri pulang ke istana”, pujuk Duong. Walaupun hati Minh berat, namun diikutkan sahaja kehendak saudara angkatnya itu.

Tiba di istana, Duong menceritakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan tuan puteri . Tuan puteri sangat terkejut namun dia tidak boleh berkata-kata. Raja memutuskan untuk mengahwinkan tuan puteri dengan Duong. Duong sungguh gembira kerana dia bakal hidup mewah di istana yang besar.

Ubat Mujarab
Minh pula hanya tinggal di rumah menunggu kepulangan Duong. Dia tidak mengetahui bahawa Duong telah menipunya. Sedang dia menunggu kepulangan Duong di depan rumah, datang seorang tua menghampirinya.

 “Nak, kamu Nampak risau. Boleh Pak Cik bantu?” soal orang tua itu. “Saya ingin mengetahui nasib tuan puteri. Dia tidak boleh bercakap kerana telah terkena sihir gergasi. Duong telah membawanya ke istana”. Balas Minh. “Duong telah berbohong kepadamu nak. Ambillah ini dan ubatilah tuan puteri,” balas pak cik tua itu.

Minh dengan segera pergi ke istana dan memohon untuk mengubati sihir yang telah dikenakan ke atas tuan puteri. Pada mulanya, Raja ragu-ragu dengan kemampuan Minh. Namun, kerana puterinya masih belum sembuh baginda menurut sahaja.

“Ayahanda, Duong berbohong mengenai siapa yang telah menyelamatkan anakanda. Sebenarnya, Minh yang telah menyelamatkan anakanda, bukannya dia,” kata tuan puteri kepada ayahandanya sebaik sahaja boleh bercakap.

Raja berasa amat marah kepada Duong kerana menipunya. Duong telah dikenakan hukuman buang daerah serta hartanya dirampas. Duong berasa amat menyesal kerana telah mempergunakan Minh. Dia sedar akan kesalahannya namun tidak boleh berbuat apa-apa lagi.

Hasil daripada sikap jujurnya, Minh dikahwinkan dengan tuan puteri. Raja mengagumi keberanian Minh menyelamatkan anaknya. Atas sifat itu, Minh dilantik menjadi pegawai tentera dan hiduplah Minh dalam keadaan bahagia dan aman.

APAKAH PENGAJARAN YANG KITA BOLEH SAMA-SAMA  AMALKAN?
Pesan ibu : Bersikap jujurlah dalam setiap perkara yang kita lakukan, barulah hidup kita lebih diberkati oleh Yang Maha Esa… Amin…

0 Ulasan