Kebenaran Al-Quran

Tafsir Al-Quran (Surah Al-An’am ayat 115)

>>> Tiada siapa mampu mengubah kandungan al-Quran <<<

Allah berfirman bermaksud, “Tiada siapa yang dapat mengubah sesuatu pun daripada kalimah-kalimahnya” (Surah al-An’am: 115)

    Ayat ini menegaskan tentang kesempurnaan kitab (al-Quran) yang tetap terpelihara selama-lamamya, tidak ada siapa pun yang akan dapat mengubah atau memindanya.

    Kitab-kitab Allah yang lain iaitu Taurat, Zabur, dan Injil berbeza dalam masalah ini, dimana kitab-kitab tersebut sudah banyak kali manusia mengubahnya terutama paderi-paderi atau rahib-rahib yang mempunyai kepentingan, mengubah kitab-kitab Allah tersebut termasuk memadamkan kenyataan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi akhir zaman serta tanda-tanda kenabiannya.

    Bagaimanapun manusia tidak berupaya mengubah ketulenan al-Quran buat selama-lamanya sehingga akhir zaman apabila Allah SWT menghilangkan al-Quran daripada dada-dada atau ingatan orang yang menghafaznya dan apabila Allah menghilangkan ayat-ayat al-Quran daripada mashafnya maka tidak ada lagi al-Quran beredar di kalangan manusia sekali gus tidak ada lagi manusia beriman ketika itu.

    Maka berlakulah kiamat yang dasyat dan menghuru-harakan kehidupan makhluk di dunia ini bahkan semuanya yang ada di hadapan mata kita hari ini atau yang ada di dunia ini akan hancur binasa.

    Dan tidak ada siapa pun berupaya mengubah kalimah-kalimahnya dan hukuman yang ditetapkan di dalamnya. Mengapa ada manusia yang boleh mengubah hukum Allah seperti menetapkan hukum zina dengan membayar denda tidak dengan sebat 100 rotan bagi yang belum berkahwin dan rejam sampai mati bagi yang telah berkahwin?

    Apa yang dikatakan hukum syariat atau hukum agama itu sebenarnya bukan hukum agama. Dia adalah hukum ciptaan manusia. Mereka tidak berupaya mengubah kebenaran dan keadilan hukum Allah buat selam-lamanya serta mereka tidak akan mampu mencipta ayat atau hukuman yang adil seperti hukuman Allah buat selama-lamanya di dunia ini apa lagi di akhirat.

    Ibnu Kathir di dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa setiap perkhabaran atau peristiwa yang di ceritakan di dalamnya (al-Quran) semuanya benar walaupun (cerita tentang semut), ia bukan rekaan tetapi ia adalah benar-benar berlaku tanpa ragu-ragu lagi.

    Setiap hukuman yang ditetapkan oleh Allah di dalam al-Quran adalah adil dan tidak ada hukuman yang lebih adil selain daripada hukum Allah. Justeru untuk menerima keadilan mestilah menerima dan melaksanakan hukum Allah. Jika tidak, keadilan itu tidak akan berjaya ditegakkan buat selama-lamanya.

    Ibnu Kathir menjelaskan lagi bahawa apa yang ditegah atau dilarang oleh Allah di dalam al-Quran ialah sesuatu yang berkait dengan perbuatan yang sesat dan lagi menyesatkan, maka setiap yang sesat merosakkan kehidupan manusia sebagaimana firman Allah di dalam ayat yang lain yang bermaksud, “Allah menyuruh mereka melakukan kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran.”
(Surah al-A’araf: 157).

    Justeru itu, jauhilah apa yang ditegah oleh Allah dan laksanakanlah suruhan Allah SWT. Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: “dan Dialah Tuhan yang sentiasa mendengar dan lagi sentiasa mengetahui”. (Surah al-An’am: 115)

    Yakni Allah sahajalah yang Maha Mendengar segala perbualan dan suara yang dikeluarkan oleh makhluknya di mana sahaja mereka berada dan Dialah juga Yang Maha Mengetahui segala-galanya termasuk apa yang tersembunyi di dalam hati manusia.

    Oleh itu, tiada siapa pun yang boleh memisahkan dirinya dari pemerhatian Allah dalam segala tindak tanduknya dan segala perasaan tersembunyi di dalam hatinya. Dalam erti kata lain, manusia itu mesti taat kepada Allah dalam segala hal, bertindak sesuatu mestilah mengikut perintah Allah dan jangan sesekali melanggar perintahnya kerana Dialah Tuhan Yang Maha Mengetahui segala apa perlu manusia itu buat dan apa dan apa yang manusia itu perlu tinggalkan.

    Yang paling penting hidup kita hendaklah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pegangan hidup. Maka wajib ke atas setiap muslim itu mempelajari fardhu ain disusuli fardhu kifayah supaya keimanan kita kukuh. Maka akan lengkaplah hidup jika sekiranya kita telah berada pada jalannya yang benar-benar suci. Belejarlah mengenal Allah dengan lebih mendalam, insyaallah hidup kita ini berada dalam rahmatnya.

SEMOGA KAWAN-KAWAN MENDAPAT MANFAAT dan SEGALA AMAL DITERIMA OLEHNYA...AMIN.


p/s: Tazkirah di bulan puasa

0 Ulasan